Teknologi maklumat atau ICT bukan lagi menjadi kehendak tetapi keperluan dalam kehidupan kita memandangkan gaya hidup kita semakin berubah di dunia yang serba moden ini. Sebagaimana yang kita tahu, ICT banyak diaplikasikan dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan seperti kewujudan sekolah bestari. Usaha kerajaan mewujudkan sekolah bestari adalah bukti kerajaan sentiasa memperhebatkan penggunaan ICT. Sekolah bestari menjadi platform terbaik untuk melahirkan generasi yang lebih berdaya maju, kreatif dan inovatif selain boleh memupuk generasi muda supaya tidak mengadaptasi sistem pembelajaran menghafal, sebaliknya berfikiran kreatif dan kritis bagi menghadapi dunia yang kian berkembang.
Walaupun kita berjaya melaksanakan projek sekolah bestari, namun masih terdapat pelbagai kekangan dan halangan dalam pelaksanaan ICT ini. Kebanyakan sekolah kekurangan guru penyelaras ICT yang boleh mengendalikan program dan juga kemudahan prasarana sekolah. Guru-guru serta juruteknik yang berkemahiran dalam bidang ICT hanya sedikit atau sangat terhad bagi sesebuah sekolah bestari. Oleh itu, bilangan guru dan juruteknik yang berkemahiran perlu ditambahkan bagi setiap sekolah dalam usaha memastikan penggunaan ICT berjalan dengan baik dan berkesan.
Pada pendapat saya, dalam proses pengintegrasian ICT, setiap pihak berperanan dan memerlukan inisiatif tersendiri untuk mempelajarinya. Sebagai contoh guru mempelajari kemahiran-kemahiran mengintegrasikan ICT secara berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tahap ilmu dan kemahiran seseorang guru tersebut akan mempengaruhi minat dan keupayaannya untuk mengubah amalan proses pengajaran dan pembelajaran sedia ada untuk menambahkan kualiti proses tersebut. Guru juga perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan pengurusan pembelajaran bestari.
Antara kemahiran yang perlu dimiliki oleh seseorang guru ialah dapat membina atau membangunkan perisian pendidikan bersifat multimedia dan interaktif untuk kegunaan pengajaran di dalam bilik darjah. Ini kerana teknologi multimedia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri dalam mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya menarik minat pelajar. Kesimpulannya, pengintegrasian ICT dalam bidang pendidikan adalah satu usaha yang baik tetapi ia tidak mudah untuk dilaksanakan dan memerlukan peranan semua pihak. Namun, teknologi ICT yang diadaptasi dalam bidang pendidikan hendaklah tidak lari daripada konsep asal proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah iaitu melibatkan komunikasi antara guru dan pelajar. Ia jelas menunjukkan bahawa semoden mana pun teknologi itu, ia masih tidak dapat menggantikan peranan asal seseorang guru itu.
No comments:
Post a Comment