Ini merupakan pendedahan yang pertama bagi saya tentang penggunaan Smart Board ini dan saya menganggap pembelajaran ini amat menarik dan menyeronokkan. Saya dan kawan sekuliah yang lain sangat teruja. Smart Board adalah alat interaktif yang telah digunakan untuk membantu proses pembelajaran yang diperkenalkan pada tahun 1991. Smart Board merupakan kaedah baru yang unik, kreatif dan berkesan untuk di aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Dengan hanya mengunakan skrin, ia dapat memaparkan gambar, video, menulis dan banyak lagi aplikasinya yang sangat canggih.
Bagi saya, penggunaan Smart Board di dalam kelas amat sesuai bagi menarik minat pelajar sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran kerana banyak pengisian berguna yang boleh dilakukan. Ianya tidak membosankan dan boleh menambahkan interaksi yang menyeluruh antara pelajar dengan guru kerana hasil penyampaian akan lebih berkesan. Saya dan tiga orang rakan lain diberi tugasan oleh Dr. Sadiah menggunakan Smart Board ini. Perkara pertama yang kami lakukan adalah memilih topik bersesuaian dan membuat rancangan pengajaran. Selepas mendapat topik, kami menggunakan persembahan flash. Flash adalah sangat interaktif dan ia akan menarik minat pelajar dengan menunjukkan animasi.
Melaluinya, secara tidak langsung pelajar dapat didedahkan dengan sesuatu yang baru dan paling penting, hasil pembelajaran di dalam kelas akan lebih berkesan. Guru juga dapat mempelbagaikan rentak pengajaran kerana semua maklumat berada di hujung jari dan pengajaran guru menjadi bertambah kreatif. Oleh itu guru patut terlebih dahulu didedahkan dengan penggunaan perisian Smart Board ini agar pengajaran sewaktu di dalam kelas akan lebih pelbagai dan menambah rasa teruja pelajar untuk sama-sama melibatkan diri dalam aktiviti semasa kelas berlangsung.
Walaupun penggunaan Smart Board sangat menarik, terdapat juga kekurangannya iaitu melibatkan kos yang tinggi yang mungkin membebankan pihak kerajaan. Ianya juga sangat sensitif dan kerajaan akan mengalami kesukaran untuk menampung perbelanjaan membaikinya jika berlaku kerosakan. Oleh kerana sifatnya yang sensitif, ia boleh menganggu kelancaran penggunaannya. Namun, walaupun agak mahal, saya turut berpendapat kerajaan patut memperuntukkan belanjawan khas untuk memastikan semua sekolah di Malaysia dapat menggunakan sistem ini secara berperingkat agar bidang pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara-negara membangun yang lain kerana keberkesanan penggunaannya.
No comments:
Post a Comment