Lecture Maker sesuai diguna dan dipraktikkan dalam poses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Penggunaannya adalah hampir menyerupai Microsoft PowerPoint dan sangat mudah dilaksanakan. Perisian Lecture Maker dilengkapi ciri-ciri tambahan komponen multimedia seperti merakam, menyunting video, menambah audio dan sebagainya. Perisian ini juga didatangkan dengan beberapa contoh templat reka bentuk bentangan untuk digunakan dalam pembangunan kandungan e-pembelajaran mengikut kreativiti pengguna. Bahan-bahan multimedia lain seperti fail Macromedia Flash, bahasa penanda hiperteks (HTML), Microsoft PowerPoint, imej dan banyak lagi juga boleh dimasukkan untuk memastikan bahan yang lebih interaktif dapat disediakan.
Dengan adanya komponen multimedia itu, pengguna terutama pengajar dapat membangunkan satu kandungan e-pembelajaran interaktif untuk pelajar-pelajar mereka. Bayangkan kaedah pembelajaran konvensional dahulu telah mengalami transformasi dengan penggunaan komputer melalui sistem e-pembelajaran. Melaluinya juga, kita boleh memasukkan teks dan grafik pada bahan pembelajaran dengan mudah, malah kaedah e-pembelajaran itu tentu bakal memudahkan lagi pelajar khususnya di sekolah kerana tidak perlu lagi memikul lambakan buku teks yang berat sehingga membebankan mereka. Senario tersebut mungkin agak ke hadapan untuk difikirkan tetapi tidak mustahil menjadi kenyataan pada satu hari nanti dengan teknologi dan perisian terkini.
Kaedah e-pembelajaran yang mengetengahkan elemen seperti interaktif, multimedia, kesan bunyi dan banyak lagi dijangka mampu membuka mata serta menambah minat pelajar. Bagi tenaga pengajar pula aplikasi menyunting untuk mereka grafik sesuai bagi membuat graf, formula, kotak teks, jadual, bentuk, karakter istimewa disediakan berbanding menggunakan imej sebelum ini. Tenaga pengajar boleh menggunakan multimedia, penilaian, kandungan boleh ubah dan navigasi berangkai dalam pembangunan e-pembelajaran mereka. Bahan-bahannya tidak terhad kepada teks dan grafik sahaja, malah pengguna boleh menghasilkan kandungan yang kaya dengan multimedia. Lecture Maker ini merupakan kelengkapan terbaik dan mudah digunakan untuk sesiapa yang ingin menghasilkan e-kandungan mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment